Akibat krisis kewangan, 3 kelab termasuk Sabah, Selangor bakal sambar tonggak PJ City FC? – Sukan


KETIKA ini, khabar angin kuat mengatakan sebuah kelab Liga Malaysia akan dibubarkan selepas mengalami isu kewangan dan pengurusan yang menutup peluang mereka untuk beraksi dalam musim akan datang.

Masalah itu tidak asing lagi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila dua pasukan Liga Super, Sarawak United dan Melaka United turut bergelut dengan isu sama sepanjang tahun ini.

Kedua-dua kelab itu menerima tumpuan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan hukuman sudah dikenakan dalam usaha membendung perkara sebegitu berulang.

Namun, terdapat satu lagi pasukan yang dikhabarkan tidak akan beraksi musim depan selepas gagal mendapatkan pelaburan diperlukan selain mengukuhkan status kewangan mereka.

Majoriti penyokong berpendapat Petaling Jaya (PJ) City FC merupakan pasukan yang dimaksudkan melihat kepada kesukaran mereka dalam membawa masuk pemain import.

Bagaimanapun, kepercayaan ketua jurulatih, P Maniam untuk menurunkan pemain tempatan sememangnya berbaloi apabila pasukan itu berjaya mencipta momen-momen tersendiri sepanjang musim ini.

Keupayaan untuk mengikat juara liga, Johor Darul Takzim (JDT) serta kemenangan ke atas seteru Lembah Klang, Selangor FC merupakan sedikit pencapaian bermakna buat pasukan kerdil itu.

Bagaimanapun, skuad The Hawks masih bergelut untuk mengekalkan momentum konsisten dalam Liga Super apabila mereka hanya perlu berpuas hati di kedudukan kesembilan.

Jadi, sekiranya desas-desus yang mengatakan PJ City bakal dibubarkan, ia pasti menarik buat peminat bola sepak tempatan untuk melihat masa depan tonggak pasukan itu.

Walaupun jendela perpindahan hanya akan dibuka menjelang akhir Oktober, berikut merupakan sedikit gambaran mengenai destinasi pemain utama dalam meneruskan karier masing-masing.

1. Darren Lok (Sabah FC)

Nama Darren Lok dan PJ City sememangnya sudah serasi apabila dia dilihat sebagai pemain paling berharga buat pasukan yang hanya mampu menampilkan pemain tempatan.

Selepas beberapa musim memanaskan bangku simpanan JDT serta diturunkan ke pasukan simpanan, kemampuan pemain tersebut terserlah musim ini apabila berjaya mencetak sembilan gol setakat ini.

Usianya yang sudah mencecah 31 tahun itu juga tidak menyekat sumbangannya setelah dia diturunkan sebanyak 18 kali dalam 20 perlawanan Liga Super skuad The Hawks.

Selain itu, usahanya dalam memberi tekanan kepada benteng pihak lawan setiap kali diturunkan juga diberi pujian dengan taktikal itu dikatakan sebagai kunci utama buat pengendalinya musim ini.

Oleh itu, sekiranya PJ City tidak akan bersaing musim depan, khidmat Darren Lok pastinya ditagih beberapa pasukan yang dalam usaha menambah baik jentera serangan.

Darren Lok berjaya menjaringkan sembilan gol bersama PJ City musim ini. — Facebook/PJ City FC

Namun, dalam kalangan kelab Liga Malaysia, terdapat ura-ura mengatakan pasukan berpangkalan di Borneo ini bakal menjadi destinasi baharu buat pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu.

Dengan pergelutan kewangan yang dialami Sarawak United, ia seakan-akan mengesahkan bahawa Darren Lok akan memilih Sabah FC dalam meneruskan kariernya.

Perkara itu bagaikan sesuai buat kedua-dua pihak apabila sumbangan Darren mampu memperkuatkan lagi kemampuan serangan The Rhinos yang sedikit tempang tanpa kehadiran penyerang berbisa.

Bagi pemain itu pula, peluang Sabah FC untuk beraksi di pentas Asia kelihatan cerah ketika ini apabila mereka semakin mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga.

Prospek beraksi di Piala AFC pastinya sukar ditolak buat Darren yang sedikit sukar untuk bermain dalam kejohanan itu ketika beraksi dalam skuad Harimau Selatan.

Persoalannya, adakah Sabah FC akan sekali lagi menukar titik utama serangan pasukan selepas pemain import, Jose Embalo baru sahaja menyertai skuad Sang Badak.

2. Kalamullah al-Hafiz (Negeri Sembilan FC)

Ketika ini, Negeri Sembilan FC mempunyai antara rekod pertahanan paling cemerlang selepas hanya dibolosi sebanyak 21 kali dalam 19 perlawanan liga.

Ramai berpendapat bahawa taktikal ketua jurulatih, K Devan menjadi kunci di atas keutuhan benteng pertahanan sehingga menyukarkan pihak lawan menembusinya.

Namun, ada juga yang berpendapat kecemerlangan penjaga gawang, Syihan Hazmi merupakan faktor utama dalam mengecewakan percubaan pasukan Liga Super.

Perkara itu dilihat tidak akan berlaku musim depan selepas penjaga gol berusia 26 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke selatan tanah air untuk menyertai JDT.

Oleh itu, pihak pengurusan dan kejurulatihan pasti akan mencari pengganti bersesuaian dalam memastikan prestasi mantap di barisan pertahanan mampu diteruskan musim depan.

Kalamullah menampilkan prestasi memberangsangkan musim ini. — Facebook/PJ City FC

Antara nama yang dilihat mampu mengisi posisi tersebut ialah pemain PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi selepas menampilkan persembahan bersemangat setakat ini.

Selepas hanya tidak diturunkan dalam satu perlawanan, pemain berusia 27 tahun itu terus mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama pasukan dengan mendapatkan kepercayaan daripada P Maniam.

Dalam 19 perlawanan, Kalamullah berjaya menempuhi tujuh perlawanan tanpa dibolosi, sekali gus membolehkan pemain kelahiran Kelantan itu untuk dipanggil ke dalam skuad kebangsaan.

Oleh itu, sekiranya perkhabaran bahawa Syihan bakal meninggalkan skuad Jang itu adalah benar, pihak pengurusan tidak perlu buntu dalam mencari pengganti.

Namun, mereka perlu bertindak segera dalam membawa masuk bekas penjaga gawang Felda United itu apabila bakatnya mula dihidu pasukan-pasukan lain.

3. K Kannan (Selangor FC)

Tidak boleh dinafikan, sumbangan seorang pemain tengah tidak kurang pentingnya sekiranya hendak dibandingkan dengan jaringan penyerang dan tepisan penjaga gol.

Meskipun kehadirannya tidak dirasai penyokong, kepentingannya dalam skuad pasti dihargai pihak kejurulatihan yang mengharapkan penguasaan bola dalam posisi tersebut.

Bagi PJ City FC, K Kannan merupakan seorang pemain penting apabila P Maniam terus-menerus meletakkan kepercayaan ke atas pemain itu untuk terus beraksi musim ini.

Usianya yang baru sahaja mencecah 26 tahun boleh dikatakan berada di kemuncak karier, lebih-lebih lagi buat seorang pemain tengah dalam posisi terbabit.

Baru-baru ini, ketika PJ City FC kalah tipis kepada Selangor FC, Kannan menampilkan persembahan kemas apabila kehadirannya berjaya merencatkan jentera serangan skuad Gergasi Merah.

Kebijaksanaannya untuk memintas hantaran serta mencari rakan sepasukan merupakan aset utama buat pemain kelahiran Klang, Selangor itu dalam mengukuhkan tempatnya dalam skuad.

Beban Brendan Gan mampu diringankan sekiranya terdapat pemain baharu musim depan. — Facebook/Selangor FC

Jadi, sekiranya dia tidak lagi terikat bersama PJ City musim depan, khidmatnya di posisi tengah mampu disumbangkan buat beberapa pasukan yang berhasrat menambah baik kualiti skuad.

Namun, dengan Kannan tidak menerima perhatian sewajarnya daripada penyokong bola sepak keseluruhannya, pasti ada sedikit kesukaran untuk meneka pasukan yang sesuai buatnya.

Selangor FC dilihat sebagai kelab yang sesuai apabila pasukan itu ketika ini berada dalam fasa perubahan selepas pelantikan ketua jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe.

Ketika ini, pengendali pasukan Gergasi Merah itu hanya mampu mengharapkan gerak-geri daripada kapten, Brendan Gan yang dilihat sesuai untuk beraksi di tengah padang.

Oleh itu, sekiranya bekas ketua jurulatih itu berhasrat untuk membawa masuk wajah baharu, Kannan merupakan salah satu pilihan tepat untuk mengurangkan bebanan Brendan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Dituduh dengkikan KL City, TMJ kongsi bukti hubungan sebenarnya OK – Sukan

Next Post

‘Malaysia sentiasa ada untuk Indonesia’, FAM turut berduka tragedi berdarah derbi Jawa Timur – Sukan

Related Posts