Akhirnya! MFL sahkan venue final Piala FA edisi ke-32 – Sukan

MALAYSIA Football League (MFL) pada Selasa mengumumkan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2022 di antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Takzim (JDT) pada 10 September, pukul 9.00 malam.

Ini susulan permohonan MFL untuk menggunakan SNBJ mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) pada Selasa selepas MFL serta pihak pengurusan TFC dan JDT membuat pemeriksaan teliti mengenai keadaan padang stadium itu bagi final edisi ke-32 Piala FA.

Sebelum ini, PSM mengumumkan penutupan SNBJ bagi sebarang aktiviti bola sepak bagi kerja-kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang dan MFL amat berterima kasih atas kerjasama pihak PSM yang meluluskan permohonan untuk SNBJ digunakan sebagai gelanggang final Piala FA tahun ini.

Dalam membuat pemilihan venue ini, MFL melalui proses yang panjang untuk menilai kemungkinan beberapa pilihan venue untuk penganjuran Perlawanan Akhir Piala FA 2022.

Bukan hanya faktor padang dijadikan keutamaan tetapi juga elemen-elemen yang amat penting seperti kemudahan dan perlindungan untuk penyokong kedua-dua pasukan, akses kepada perkhidmatan awam, ruang yang luas di sekeliling stadium yang akan membolehkan operasi keselamatan untuk puluhan ribu peminat yang akan berada di stadium, sokongan dan bantuan pihak berkuasa tempatan juga diambil kira.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, pemilihan venue itu turut memberi penekanan daripada segi pengelolaan perlawanan, penyiaran, komersial dan juga kapasiti stadium yang akan membolehkan setiap finalis menjana pendapatan sebanyak mungkin daripada penganjuran perlawanan akhir ini.

“Pihak MFL sudah mengadakan perbincangan dengan wakil PSM sebelum ini untuk memeriksa serta mendapat maklumat terkini mengenai keadaan padang SNBJ dan kami dimaklumkan bahawa SNBJ bersedia untuk menjadi venue perlawanan akhir Piala FA kali ini.

“Antara elemen yang menjadi perhatian MFL adalah keadaan padang SNBJ dan kami mendapat jaminan daripada PSM bahawa mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti.

“Buat masa ini, SNBJ satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,000 penyokong dalam satu-satu masa dan berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan. Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium.

“Selain itu, MFL juga menjemput wakil kedua-dua pasukan untuk memeriksa keadaan padang pada 12 Ogos (Jumaat) bersama dengan pihak pengurusan PSM bagi mendapatkan pandangan serta jaminan daripada PSM sendiri mengenai penyediaan padang SNBJ untuk perlawanan akhir nanti. Hasil pertemuan itu, semua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan keadaan padang di tahap terbaik.

“MFL juga tidak boleh berkompromi dalam aspek keselesaan dan keselamatan dan kita sedia maklum bahawa SNBJ memiliki fasiliti terbaik di dalam dan di luar termasuk akses pengangkutan awam ke venue ini.” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai penjualan tiket final Piala FA 2022, MFL akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan TFC dan JDT terlebih dahulu sebelum hebahan dibuat dalam waktu terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Twinkiller Kelantan FC diramal ancaman terkini liga musim depan – Sukan

Next Post

TFC tak buat kerja, Ahmad Samsuri tahu ke? Penyokong geram habis ubi muda kena rembat JDT – Sukan

Related Posts