Air mata iringi lanjutan derita TRW, pesta awal JDT tertangguh – Sukan


BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.

GAMBARAN penjaga gol muda Kelantan FC, Muhammad Irfan Haikal Iffendi, menangis teresak-esak seusai perlawanan dengan Selangor FC di Kota Bharu, Jumaat lalu, menyimpulkan aksi minggu ke-21 Liga Super, yang turut melengahkan sedikit ‘istiadat’ menabalkan Johor Darul Takzim (JDT) selaku ‘raja’ buat musim ke-10 berturut-turut.

Sejurus pengadil Nazmi Nasaruddin meniupkan wisel panjang menandakan tamatnya malam derita buat pasukan tuan rumah, pemain-pemain skuad Kijang Merah itu dilihat bergelimpangan di atas padang. Ada yang terbaring, ada yang duduk sambil menekup muka.

Penjaga gol berusia 21 tahun itu pula terbaring bersendirian di depan pintu golnya yang telah ditembusi 11 kali sepanjang 90 minit sebelum itu. Kemudian duduk, kamera televisyen menyorotnya sambil dia dilihat mengesat air mata yang menceritakan perasaan yang bercampur baur di antara kekesalan, keaiban dan rasa benar-benar ditundukkan.

Pemain-pemain muda Kelantan sekali lagi menitiskan air mata selepas dibelasah Selangor dengan keputusan 2-11 pada Sabtu.

Harus berat benar beban yang tertanggung di kedua-dua bahu penjaga gol daripada skuad bawah 23 tahun Kelantan itu pada ketika kekalahan 11-2 kepada Selangor FC itu, yang tercatat sebagai rekod jumlah bolos terbesar dalam satu-satu perlawanan Liga Super, tidak pun patut dipersalahkan kepadanya seorang diri.

Beberapa pemain pelawat, didahului kapten, Brendan Gan, serta penyerang, Richmond Boakye dan Faisal Halim turut mendapatkan Irfan Haikal bagi menenangkannya.

Bola sepak bukan hanya berkisar kepada kalah menang tapi juga berkongsi detik-detik mengharukan seperti dipertonton pemain berkenaan.

Ia bukanlah kali pertama berlaku kepada Kelantan FC, pasukan paling tidak bertuah yang kekal terperosok di tangga kedua terbawah dengan hanya menang dua, seri dua dan kalah 17 untuk sekadar menghimpun lapan mata – cuma satu mata mengatasi Kuching City FC yang memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Skuad The Red Warriors (TRW) itu lebih dahulu diaibkan Johor Darul Takzim (JDT) 10-0 dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di tempat lawan pada 19 Ogos sebagai menyusuli aksi pertama dengan kekalahan 5-1 di Kota Bharu untuk tersingkir dengan agregat 15-1.

Di antara kedua-dua aksi timbal balik itu, Kelantan FC dibelasah 8-0 oleh Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Kota Bharu yang memperlihatkan Irfan Haikal mengutip bola dari dalam pintu golnya sebanyak lapan kali.

Malah, dalam kunjungan terakhir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), pemain-pemain JDT lebih dahulu menunjukkan semangat kesukanan dengan terus berlari dan memeluk pemain Kelantan yang sukar menerima kekalahan terburuk mereka seusai perlawanan. Irfan Haikal bagaimanapun tidak beraksi.

Segala gambaran seperti itu boleh dipersalahkan kepada kelemahan pengurusan pemilik TRW, Norizam Tukiman, yang satu demi satu perancangannya tidak menjadi hingga terpaksa meletakkan harapan tinggi kepada pemain muda untuk baki musim selepas hampir keseluruhan tonggak pasukan meninggalkan mereka.

Berbaki hanya lima perlawanan, Kelantan FC harus tersingkir ke liga bawahan musim depan dan hanya keajaiban yang mampu menyelamatkan mereka. Tapi tu juga satu kelegaan kerana skuad TRW sebenarnya tidak pun layak tergolong antara pasukan elit tanah air.

Sebahagian aksi menarik pertembungan antara KDA FC berdepan JDT. — Facebook/MFL

Minggu ke-21 saingan sebenarnya lebih tertumpu kepada aksi Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang JDT di Alor Setar yang menyaksikan dua fasa kebangkitan. Ketinggalan 0-2, JDT bangkit mengikat kedudukan 2-2 dan kemudian mendahului 3-2 hanya untuk tuan rumah turut bangkit bagi keputusan 3-3.

Penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed, yang sebelumnya cuma tewas empat kali dalam 20 perlawanan, buat kali pertama dibolosi tiga gol dalam satu perlawanan sambil JDT terdedah sebagai pasukan yang biasa-biasa berbanding lazimnya sebagai barisan serba penakluk.

Pujian selayaknya buat KDA FC dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, di atas corak permainan dan kesungguhan luar biasa untuk menjadi pasukan pertama merentap satu mata daripada Harimau Selatan tapi segala cakap-cakap bahawa skuad Sang Kenari itu bakal berkesudahan di tangga kedua mungkin sedikit pramatang.

Ia mungkin melengahkan sedikit pesta keraian JDT untuk menjulang trofi Liga Super buat musim ke-10 berturut-turut – malah lebih molek ia disambut ketika berdepan PDRM FC di SSI pada 29 September nanti – pada ketika perebutan naib juara serta slot ke saingan peringkat Asia akan memuncak.

Selangor FC masih kukuh di tangga kedua, lima mata mengatasi KDA FC yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, dengan Gergasi Merah berikutnya akan berkunjung ke Kuala Terengganu manakala Sang Kenari akan menjadi tetamu kepada Kuala Lumpur City (KLC) FC.

Pertemuan minggu ke-25 nanti yang akan menemukan KDA FC-Selangor FC di Alor Setar pada 2 Disember mungkin menjadi penentu di antara kedua-dua pasukan itu.

Dalam pada itu, peluang dua pasukan lagi, Sabah FC dan Sri Pahang FC, untuk memecut menuju garis penamat juga tidak boleh diketepikan. Skuad Sang Badak itu, yang bersasaran untuk mengekalkan tangga ketiga musim lalu dan cuma terpisah dua mata dengan KDA FC ketika ini, harus sudah menghitung tiga mata lagi apabila berkunjung untuk berdepan Kelantan FC selepas ini.

Sri Pahang FC, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, seterusnya akan menjadi tuan rumah kepada Kuching City FC, disusuli perhitungan dengan Terengganu FC di tempat lawan.

Maka, bolehlah diandaikan perebutan naib juara masih meluangkan kesempatan buat empat pasukan tanpa Selangor FC dan KDA FC boleh berasa selesa bahawa ia akan menjadi ‘perlumbaan dua kuda’ di antara mereka.

Selepas dibuai khayalan hasil kejayaan menyingkirkan KDA FC dalam pusingan 16 Piala Malaysia, Perak FC dikerah kembali berpijak di bumi nyata apabila ditundukkan KLC FC 4-0 di hadapan 7,000 penyokong – jumlah kedua tertinggi selepas 15,106 dalam perlawanan sulung menentang KDA FC pada 25 Februari lalu.

Ia menjadi pengajaran buat semua pasukan bahawa tanpa konsistensi, kejayaan tidak akan berpanjangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Beraksi tak macam ‘last 2 game’, Yusri Che Lah nafi TBG simpan tenaga nak lawan The Rhinos – Sukan

Next Post

Kelemahan Harimau Selatan terbongkar, selidik pro kontra keputusan seri JDT diikat Sang Kenari – Sukan

Related Posts