‘3 in 3 out’, senarai Pestabola Merdeka beri bayangan skuad akhir Piala Asia – Sukan


KIRA-KIRA dua minggu lagi, seluruh penyokong bola sepak tanah air akan berkumpul memeriahkan gelanggang keramat skuad kebangsaan, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi kejohanan Pestabola Merdeka.

Kejohanan tertua Asia itu akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober dijangka bakal menjadi pentas terbaik buat skuad kendalian Kim Pan-gon untuk menguji kekuatan menjelang Piala Asia di Qatar tahun depan.

Harimau Malaya akan berdepan pasukan di ranking ke-99 dunia, India dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2023, 13 Oktober ini manakala Palestin menentang Tajikistan pada hari yang sama.

Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula Jumaat ini dan antara wajah baharu ialah penjaga gol Terengganu FC (TFC), Suhaimi Husin.

Senarai tersebut bagaimanapun menerima kritikan daripada penyokong bola sepak tanah air, yang mana mereka beranggapan bahawa terdapat beberapa nama dianggap kurang sesuai untuk dibawa ke persediaan Piala Asia itu.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pemain yang wajar digugurkan dan berserta tiga lagi pemain boleh dipanggil ke kem latihan Pan-gon berdasarkan penilaian semasa di saingan liga domestik;

Tiga pemain wajar digugurkan;

1) Sharul Nazeem

Sharul turut mendapat panggilan bagi kejohanan Pestabola Merdeka. — Facebook/FAM

Bek tengah Selangor FC, Sharul Nazeem antara pemain yang diminta oleh sebahagian penyokong untuk digugurkan daripada perancangan Pan-gon ke Piala Asia nanti selepas dilihat sering menampilkan kesilapan-kesilapan kecil.

Dalam beberapa perlawanan bersama skuad kebangsan dan di peringkat kelab, Sharul ataupun Afro dilihat gagal membaca gerak-geri lawan, terlalu gopoh dalam melakukan asakan dan kerap menggoyahkan struktur pertahanan.

Kelemahan yang dimiliki pemain berusia 24 tahun itu boleh menjadi duri dalam daging dalam barisan pertahanan berikutan pada saingan Piala Asia nanti Malaysia akan diuji dengan lawan lebih kuat iaitu Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Sharul mula menarik perhatian barisan kejurulatihan Harimau Malaya ketika perlawanan persahabatan 2022 menentang Tajikistan dan sejak itu dia sudah mengumpul sebanyak 10 penampilan bersama skuad kebangsaan.

2) Mukhairi Ajmal

Mukhari dianggap masih belum bijak untuk membuat keputusan. — Facebook/FAM

Ketua pasukan Harimau Muda, Mukhairi Ajmal mula dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat pasukan kebangsaan ketika menghadapi kejohanan jemputan Piala Raja Thailand di Chiang Mai pada September tahun lepas.

Namun pemain berusia 22 tahun itu dirasakan masih belum menepati par skuad utama dan sebaliknya dilihat lebih sesuai untuk beraksi bersama skuad Bawah-23 tahun (B-23) bagi saingan Piala Asia B-23 nanti.

Pemain beraksi di posisi tengah itu masih belum bijak membuat keputusan, yang mana perkara itu disebabkan usia dan pengalamannya masih cetek di peringkat saingan antarabangsa seperti aksi persahabatan mahupun Piala Asia nanti.

Oleh itu, pemain berkaki kiri itu dinasihatkan perlu menimba pengalaman bersama Harimau Muda di kejohanan B-23 sebelum bersedia menyarung jersi Harimau Malaya bagi tugasan-tugasan penting negara.

3) Shamie Iszuan

Shamie masih buntu untuk mencetak gol buat Sri Pahang. — Facebook/FAM

Salah seorang bintang yang menyinar ketika aksi Piala AFF 2022 yang lalu merupakan pemain sayap kelahiran Sarawak, Shamie Iszuan meskipun jarang disebut-sebut namanya ketika beraksi di peringkat kelab.

Kecemerlangannya itu mendesak Sri Pahang FC untuk menyambar khidmatnya ketika jendela perpindahan awal musim lalu tidak lama selepas pasukan lamanya, Sarawak United gagal meraih lesen untuk beraksi dalam Liga Super 2023.

Namun, sepanjang berada dalam skuad Tok Gajah, Shamie masih gagal untuk menampilkan aksi terbaik dengan kegagalannya bagi membantu jentera serangan pasukan sering menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.

Jadi, keputusan Pan-gon untuk meletakkannya dalam senarai 25 pemain sudah tentu menimbulkan persoalan dengan orang ramai berasakan terdapat beberapa pilihan lebih baik untuk menaikkan kebolehan barisan serangan Harimau Malaya.

Dalam mencari solusi kelopongan tersebut, terdapat tiga alternatif lain yang dianggap boleh menggantikan tiga pemain diatas;

1) Shahrul Nizam Ros Hasni

Shahrul Nizam ketika aksi menentang wakil Australia itu. — Facebook/TFC

Pertahanan tengah skuad Sang Penyu, Shahrul Nizam Ros Hasni merupakan salah seorang pemain yang tidak pernah mendapat peluang skuad kebangsaan walaupun dia sering berada dalam prestasi terbaik di peringkat kelab.

Baru-baru ini pemain yang dikenali sebagai ‘Nijey’ mencuri perhatian dalam membantu Terengganu menewaskan naib johan liga utama Australia, Central Coast Mariners bagi aksi pertama Piala AFC 2023.

Selain cekap dalam mengendalikan barisan pertahanan, anak jati Bachok, Kelantan berkenaan juga menampilkan kualitinya apabila berhasil mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya pada minit-minit akhir permainan.

Bek tengah skuad Sang Penyu, Shahrul Nizam yang patutnya membuat debut pertama bersama skuad Harimau Malaya terpaksa digugurkan selepas dia tidak dapat dihubungi kerana berada di laut ketika itu.

2) Afiq Fazail

Afiq tampil dalam 16 perlawanan Liga Super 2023 musim ini bersama JDT. — Facebook/JDT

Pemain tengah Harimau Selatan, Afiq Fazail antara nama ditunggu-tunggu penyokong untuk bermain dalam pasukan Harimau Malaya namun sehingga kini tonggak berusia 28 tahun itu hanya menghiasi senarai simpanan.

Seperti panggilan sebelum ini, tonggak tengah Harimau Selatan itu diletakkan dalam Senarai Bersedia bersama 26 pemain lain dan akan mendapat peluang sekiranya ada perubahan pada senarai asal.

Meskipun mempunyai peranan berbeza namun berbanding Mukhari, Afiq seorang pemain yang lebih lengkap dengan mempunyai ciri-ciri seperti bijak menghidupkan bahagian tengah untuk Harimau Malaya dan mempunyai rembatan padu.

Kali terakhir Afiq menyarung jersi Harimau Malaya adalah ketika kelayakan Piala Dunia Zon Asia pada November 2019 yang mana ketika itu skuad kebangsaan berada di bawah sentuhan Tan Cheng Hoe.

3) Zhafri Yahya

Zhafri menjaringkan tiga gol dan tiga bantuan gol dalam 18 perlawanan. — Facebook/KLCity

Zhafri Yahya boleh dianggap antara pemain kurang menjadi sebutan penyokong namun penyerang sayap itu masih menjadi harapan Kuala Lumpur (KL) City FC untuk membantu bahagian serangan Warga Kota.

Jika dibandigkan dengan Shamie, pemain berusia 29 tahun itu lebih banyak pengalaman di peringkat Asia dengan membantu Warga Kota ketika Piala AFC, selain cemerlang di peringkat domestik.

Pernah dipanggil oleh Pan-gon untuk bersama Harimau Malaya ketika Piala Raja Thai tetapi Zhafri masih belum berpeluang untuk turun beraksi yang mana dia lebih banyak memanaskan bangku simpanan skuad kebangsaan.

Pemain yang selesa menggunakan kaki kanan itu berjaya menjaringkan tiga gol dan tiga bantuan gol dalam 18 perlawanan untuk semua kejohanan disertai The City Boys. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram




Source link

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

‘Bajet tinggal ni je nak makan’, 2 ubi muda TRW ‘berjangkit’ isu kebajikan terabai – Sukan

Next Post

TBG dapat ‘clean sheet’, tapi Yusri Che Lah ada sebab untuk bimbang – Sukan

Related Posts